SHAH ALAM, 23 April- Seorang lelaki tempatan berusia 69 tahun ditahan selepas didapati menyimpan tujuh senjata api tanpa lesen sah dalam serbuan yang dilakukan di kediamannya di Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan tangkapan dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, hasil risikan dan pemantauan yang dijalankan.
“Pemeriksaan lanjut di rumah suspek menemui dan merampas beberapa jenis senjata api bersama peluru, antaranya sepucuk pistol jenis revolver, senapang laras panjang jenis Cal .22, pistol jenis CZ, laras menyerupai AK47, laras tanpa jenama berwarna hitam, pistol jenis Glock P38 Auto serta sebuah beg plastik hitam mengandungi senjata elektrik ‘taser gun’,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Turut mengejutkan, suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau itu juga dikesan menggunakan Jata Kerabat Diraja Perak palsu pada dua buah kenderaan miliknya.
Setakat ini, polis telah merakam keterangan lima individu bagi membantu siasatan, manakala suspek direman selama enam hari sehingga 27 April ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 36 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, serta Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Pindaan 2016).
Pihak polis tidak menolak kemungkinan terdapat unsur penyamaran atau percubaan menipu menggunakan simbol diraja, dan siasatan lanjut masih diteruskan.