fb fb fb fb fb

Lima sekeluarga didakwa culik remaja perempuan, berdepan hukuman penjara

Foto hiasan

SEREMBAN, 24 April- Lima sekeluarga termasuk pasangan suami-isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dan menuntut wang sebanyak RM2 juta.

Tertuduh, D Sasveena, 31 tahun dan suaminya, T Boharaj, 32 tahun, adik tiri, Farhin Muhamad Ariffin, 23 tahun, serta dua adik kandung, P K Koshenn Kumar, 21 tahun dan P K Siveeshinaa, 23 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan niat bersama menculik seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dengan cara melarikan mangsa bagi tujuan menuntut wang tebusan sebanyak RM2 juta.

Perbuatan  tersebut dilakukan kira-kira pukul 5.45 petang di hadapan sebuah salun di Jalan S2 B10, Uptown Avenue, Seremban Dua, pada 10 April lalu.

Pendakwaan dilakukan bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan dengan sebatan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan jenayah dilakukan serius serta membabitkan keselamatan mangsa.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 14 Mei ini.

Terdahulu, media pada 14 April lalu melaporkan, seorang daripada suspek dipercayai terbabit kes tersebut ditembak mati di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI