JOHOR BAHRU, 23 April- Seorang Ketua Pembantu Tadbir di sebuah sekolah menengah di Pontian, Johor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas 20 pertuduhan menggunakan dokumen dengan butiran matan palsu bagi membuat tuntutan berjumlah lebih RM100,000 antara Mei 2021 hingga Disember 2022 lalu.
Pengakuan dibuat tertuduh, Mohd Khairul Md Khalid, 42 tahun selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.
Tertuduh didakwa menggunakan suatu dokumen dengan butiran matan palsu membabitkan invois berjumlah antara RM1,170 hingga RM7,920 bagi membekalkan modul latih tubi pembelajaran dan pengajaran (PNP) kepada pelajar sekolah berkenaan sedangkan pembekalan tersebut tidak dilaksanakan.
Pendakwaan mengikut seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut seksyen 24(2) akta sama.
Sementara itu di mahkamah sama, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas dua puluh pertuduhan pilihan menggunakan satu dokumen tulen membabitkan jumlah invois dan tuntutan sama.
Semua pertuduhan pilihan itu dibacakan mengikut peruntukan seksyen 47 kanun keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen 465.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rais Adha Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud.
Mahkamah membenar tertuduh diikat jamin keseluruhan RM14,000 dengan dua penjamin selain perlu melapor diri di ibu pejabat SPRM setiap bulan, tarikh sebutan semula kes pada 23 Jun depan.
Kemuka 20 tuntutan palsu, ketua pembantu tabdir mengaku tidak bersalah
