KUALA LUMPUR, 22 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyita aset bernilai RM3.51 bilion hasil siasatan besar-besaran terhadap skim penipuan pelaburan Ponzi yang dikaitkan dengan MBI International Group.
Ketua Pasukan Anti Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali memaklumkan lima individu termasuk usahawan bergelar Tan Sri dan Datuk Seri ditahan dalam operasi khas, Op Northern Star, yang dijalankan sejak Jumaat lalu di Lembah Klang dan utara Semenanjung.
“Antara aset yang disita termasuk dusun durian di tiga lokasi iaitu di Raub, Pahang; Jawi, Pulau Pinang; dan Tasek, Kedah, dengan keseluruhan nilai dianggarkan RM223 juta. Selain itu, sebanyak 299 akaun bank dibekukan melibatkan jumlah RM123 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai kejayaan tangkapan dan rampasan kes Op Northern Star di Menara KPJ, di sini.
Turut disita dalam operasi berkenaan ialah 12 kenderaan mewah, wang tunai dalam pelbagai mata wang, sebuah jam tangan mewah, lima unit telefon bimbit, satu komputer riba dan pelbagai dokumen penting.
Menurut Muhammed Hasbullah, tiga entiti perniagaan termasuk sebuah kilang sawit dan hotel turut dikenakan tindakan penyitaan.
Kesemua suspek yang berusia antara 32 hingga 67 tahun kini direman antara lima hingga enam hari untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Polis turut menggesa orang ramai yang menjadi mangsa skim pelaburan tersebut supaya tampil membantu siasatan.
PDRM memberi amaran bahawa tiada pihak, sama ada terlibat secara langsung atau tidak langsung, akan terlepas daripada tindakan undang-undang.