fb fb fb fb fb

Wanita warga emas dan tiga lelaki didakwa edar dadah

Wanita warga emas dan tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Pontian, atas pertuduhan mengedar dan memiliki pelbagai jenis dadah

PONTIAN, 15 Mei- Empat individu termasuk seorang wanita warga emas dihadapkan di Mahkamah Majistret Pontian, atas pertuduhan mengedar dan memiliki pelbagai jenis dadah, 4 Mei lalu. 

Kesemua tertuduh, Lim Huang Kin, 40 tahun, Tan Chee Seong, (50), Chan Chui Lai, (59) dan Chan Ah Moi, (75) mengangguk faham, sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana ia bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didapati secara bersama mengedar dadah berbahaya jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 23,572.74 gram dan 532.29 gram serta kanabis sebanyak 362.02 gram.

Manakala, Chui Lai berdepan dua lagi pertuduhan iaitu mengedar dadah MDMA seberat 1,638.81 gram dan memiliki dadah berbahaya jenis Nimetazepam dengan berat 275 gram.

Kesemua tertuduh juga didapati memiliki dadah berbahaya iaitu ketamin seberat 232.6 gram.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kukup Laut, Pontian kira-kira pukul 1.30 pagi, 4 Mei lalu. 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurezzati Zaini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan, jika tidak dijatuhkan hukuman mati, atas kesalahan mengedar dadah.

Manakala bagi kesalahan memiliki dadah, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seskyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap semua tertuduh dan 21 Julai hadapan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI