KUALA LUMPUR, 25 Januari- Wanita warga asing ditahan selepas cuba meragut rantai leher milik seorang wanita warga emas dalam kejadian berhampiran kuil Batu Caves di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira pukul 5 petang, ketika mangsa berusia 64 tahun sedang berjalan kaki bersama dua cucunya di tepi jalan berhampiran kuil terbabit.
“Mangsa kemudiannya ditolak oleh suspek yang cuba menarik rantai leher warga emas itu. Ketika kejadian berlaku, terdapat saksi awam yang melihat dan menjerit menyebabkan suspek melepaskan rantai ditarik sehingga putus dan jatuh di atas jalan.
“Suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan dengan bantuan orang awam sebelum diserahkan kepada polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Ariffin berkata permohonan tahanan reman terhadap suspek berusia 45 tahun itu akan dibuat di Mahkamah Majistret Selayang hari ini, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan berwaspada dalam menjaga keselamatan harta masing-masing semasa mengunjungi serta merayakan Thaipusam di Kuil Batu Caves.
Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Insp Yap Chin Chua di talian 019-9969469 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.