fb fb fb fb fb

Bot pukat tunda bersama 5 kru warga Thailand ditahan

Bot dikesan sedang menunda ikan pada kedudukan 8.5 batu nautika dari Pulau Bunting sebelum ditahan untuk pemeriksaan pada 1 pagi tadi.

KUALA KEDAH, 25 Januari- Sebuah bot pukat tunda Zon C bersama lima kru warga Thailand ditahan Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kuala Kedah kerana dipercayai menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.

Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kedah, Pang Anak Nyukang, bot dikesan sedang menunda ikan pada kedudukan 8.5 batu nautika dari Pulau Bunting sebelum ditahan untuk pemeriksaan pada 1 pagi tadi.
 
Hasil pemeriksaan mendapati, bot melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat ditetapkan dalam lesen yang hanya membenarkan menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan 15 batu nautika dan ke atas daripada daratan atau pulau terdekat.
 
Bot dan peralatan menangkap ikan bernilai kira-kira RM600,000 disita dan kes diserah kepada Pegawai Penyiasat Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.

Pang Anak Nyukang mengingatkan para nelayan agar mematuhi peraturan zon penangkapan ikan yang dibenarkan sahaja.
 
Beliau berkata, zon-zon penangkapan ikan ini dilaksanakan bagi memastikan sumber perikanan yang ada dapat dimanfaat oleh semua nelayan.
 
"Kegiatan pencerobohan bot pukat tunda ke kawasan berdekatan pesisir pantai atau pulau akan menyebabkan tekanan kepada sumber perikanan sedia ada. Sekiranya perkara ini tidak dibendung, ia akan menyebabkan pengurangan sumber perikanan yang mendadak akibat tindakan pengeksplotasi sumber berlebihan," katanya.
 

ZEHRA BINTI ZAMBRI