fb fb fb fb fb

84 warga asing tanpa permit kerja sah ditahan

Foto FB Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor

KULAI, 25 Januari- Seramai 84 warga asing yang tidak memiliki pas atau permit sah untuk berada di negara ini diberkas Jabatan Imigresen Johor (JIM) di sebuah kilang komponen di Senai, di sini, 11 pagi semalam.

Pengarah JIM Johor, Baharuddin Tahir berkata, mereka berumur antara 20 hingga 47 tahun itu juga ditahan kerana tinggal lebih masa.

Katanya, Ops Mahir tersebut melibatkan 100 pegawai imigresen dan seramai 328 pekerja kilang telah diperiksa.

"Tangkapan melibatkan 69 lelaki warga Bangladesh, tujuh lelaki warga India, empat lelaki warga Sri Lanka, serta dua lelaki dan dua wanita warga Myanmar. Turut ditahan, seorang wanita tempatan berumur 42 tahun kerana melindungi warga asing," katanya dalam satu kenyataan.

Baharuddin berkata, dua notis hadir ke pejabat juga dikeluarkan kepada individu terlibat bagi membantu siasatan.

Tindakan diambil mengikut Akta Imigresen 1959 / 63 ( Akta 155 ) , selain Peraturan 39 ( B ) Peraturan – Peraturan Imigresen 1963.

JIM Johor akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan terutama di lokasi 'hotspot' bagi membanteras isu kebajiran PATI.

Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap PATI yang melanggar undang-undang serta majikan dan pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.

ZEHRA BINTI ZAMBRI