fb fb fb fb fb

Wanita rugi lebih RM1.2 juta terjerat sindiket ‘love scam’

Seorang wanita berusia 64 tahun kerugian lebih RM1.2 juta selepas terjerat 'love scam' .

KUCHING, 1 Ogos - Seorang wanita berusia 64 tahun mengalami kerugian lebih RM1.2 juta selepas menjadi mangsa penipuan dalam talian atau 'love scam' sejak Disember tahun lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintenden Merbin Lisa dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa berkenalan dengan seorang individu dikenali sebagai Zhou Yong melalui aplikasi WhatsApp.

Terpedaya dengan janji manis suspek, wanita itu sanggup menggadaikan kenderaannya serta mendapatkan pinjaman daripada ahli keluarga dan agensi pinjaman berlesen.

Sepanjang tempoh Disember 2024 hingga Julai lalu, mangsa telah melakukan sebanyak 25 transaksi ke atas 18 akaun bank berbeza sebelum menyedari dirinya ditipu.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada 26 Julai lalu dan satu kertas siasatan telah dibuka.

Menurut Superintenden Merbin, sehingga Julai tahun ini, sebanyak lapan kertas siasatan telah dibuka melibatkan modus operandi serupa, dengan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM1.3 juta.

Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan mendorong penyerahan harta secara tidak jujur.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun serta dikenakan denda dan sebatan.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN