IPOH, 10 November- Seorang wanita ditemukan maut dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Jalan Pengkalan Barat 25, Taman Puteri Lindungan Bulan, Pasir Puteh Ipoh pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad menerusi satu kenyataan berkata makluman mengenai kejadian diterima pihak polis daripada orang awam pada pukul 8.31 pagi.
Mangsa berusia 54 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terkurung dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.
Pemeriksaan awal mendapati mayat mangsa telah membusuk sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.
Susulan itu, polis menahan seorang remaja berusia 21 tahun yang merupakan anak saudara kepada mangsa bagi membantu siasatan.
Permohonan reman akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Ipoh.
Hasil saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tiada rekod lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.