KUALA LUMPUR, 21 April - Seorang wanita dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku mencuri pelbagai barangan runcit dari sebuah pasar raya Sabtu lepas.
Majistret Aina Azahra Arifin memerintahkan Lini Ahmat, 38, menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 19 April.
Dia didakwa mencuri 30 jenis barangan termasuk makanan ringan, produk penjagaan diri dan keperluan harian yang bernilai RM374.69 dari sebuah pasar raya di Brickfields mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Terdahulu, peguam Qurratu ‘Aini Zafirah Mat Shoib memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya terpaksa melakukan kesalahan itu akibat tekanan kewangan selain perlu menanggung seorang anak berusia enam bulan dan bapa yang uzur berusia 76 tahun.
“Anak guam saya tidak bekerja manakala suaminya baru sahaja mendapat pekerjaan selepas mereka sekeluarga berpindah dari Sarawak ke sini.
"Dia berada dalam keadaan terdesak dan tidak mempunyai wang untuk membeli keperluan asas,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh pula memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh. - BERNAMA