SIBU, 3 Januari- Seorang pemandu lori dijatuhkan hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Sibu selepas mengaku bersalah atas tuduhan ugutan jenayah terhadap seorang penyanyi tempatan Disember lalu.
Mel Maxpherson Munded, 35, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Oon Kork Chern.
Tertuduh turut berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal bayar denda.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Nor Ashima Ramli atau lebih dikenali sebagai Baby Shima pada 30 Disember 2024 dengan mengugut sehingga mendatangkan ketakutan kepadanya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu tertuduh yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak memohon hukuman minimum kerana beliau merupakan satu-satunya pencari rezeki untuk keluarganya selain perlu menjaga ibunya yang sudah tua.
Tertuduh turut mengaku tidak sedar komen tersebut berunsur ugutan jenayah dan pada ketika itu dia berada bawah pengaruh alkohol.