fb fb fb fb fb

Tukang gunting rambut didakwa tipu wanita dapatkan kerja pramugari Singapore Airlines

Foto: BERNAMA

GEORGE TOWN, 8 Ogos- Seorang tukang gunting rambut didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memperdayakan seorang wanita untuk mendapatkan pekerjaan sebagai pramugari membabitkan kerugian lebih RM300,000, tahun lalu.

Tertuduh, Tan Chun Hooi, 37, membuat pengakuan tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Dia didakwa memperdaya seorang wanita berumur 38 tahun untuk mempercayai dia berupaya mendapatkan pekerjaan sebagai pramugari Singapore Airlines di Singapura sehingga mendorong mangsa memasukkan wang RM358,015 ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh antara 3 Julai 2023, kira-kira pukul 10.15 malam hingga 15 Disember 2023, kira-kira pukul 6.39 petang, di Paya Terubong, Ayer Itam, di sini.

Perdakwan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Ashraf Ali mencadangkan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Peguam tertuduh, Yiew De Xien memohon jaminan yang rendah dengan alasan tertuduh perlu menanggung neneknya.

Mahkamah kemudiannya menawarkan wang jaminan berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh dan kes disebut semula pada 12 September depan. 

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI