fb fb fb fb fb

Penganggur hadapi lapan pertuduhan culik, kurung, amang seksual kanak-kanak

Leang Win Son didakwa menculik Albertine Leo Jia Hui daripada jagaan sah iaitu ibunya di Eco Galleria, Taman Botani, Iskandar Puteri di sini, pada 8.30 malam, 20 Julai lalu..

JOHOR BAHRU, 8 Ogos- Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lapan pertuduhan menculik, membuat pengurungan salah dan amang seksual ke atas kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, selain mengumpul dan memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak, bulan lalu.

Tertuduh, Leang Win Son, 31 membuat pengakuan secara berasingan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman dan Hakim Rasidah Roslee.

Lelaki itu didakwa menculik Albertine Leo Jia Hui daripada jagaan sah iaitu ibunya di Eco Galleria, Taman Botani, Iskandar Puteri di sini, pada 8.30 malam, 20 Julai Lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah itu juga, tertuduh didakwa membuat pengurungan salah ke atas kanak-kanak itu di bilik hotel di Jalan Mahagoni 9, Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor pada 4.45 pagi, 23 Julai lalu.

Sementara itu pada prosiding berasingan, tertuduh turut didakwa memiliki sebanyak 5,317 gambar dan video iaitu bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak di dalam dua kad SD, cakera keras dan telefon bimbit di sebuah rumah di Jalan Bunga Raya 2, Taman Sri Kulai dekat Kulai, pada 4 petang, 24 Julai lalu.

Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 8(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017(Akta 792) yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebat tidak kurang tiga kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Johor,Abdul Ghafar Ab Latif manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Zafirah Norizan.

Bagi dua lagi pertuduhan, Leang didakwa memiliki bahan pornografi kanak-kanak iaitu 30 keping gambar penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak dalam telefon bimbit di hotel di Jalan Mahagoni 9, Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor pada 4.45 pagi, 23 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Suspek turut didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan membuatkan seorang kanak-kanak menunjukkan badannya supaya dapat dilihat olehnya di hotel sama antara 12.30 tengah hari, 22 Julai lalu hingga 4.45 pagi, 23 Julai lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dua mahkamah itu kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM50,000 serta syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan, lapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta pasport antarabangsa hendaklah diserahkan kepada mahkamah, jika ada.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 September depan bagi serahan dokumen.

ZEHRA BINTI ZAMBRI