fb fb fb fb fb

Tukang besi dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, sebabkan kecederaan parah

Muhammad Ariff Jilon Majaun, 45 tahun (memakai pelitup separuh muka) dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara dan dua kali sebatan

JOHOR BAHRU, 17 Februari- Seorang tukang besi dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara dan dua kali sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang lelaki menggunakan senjata tajam, pada 11 Februari lalu.  

Tertuduh, Muhammad Ariff Jilon Majaun, 45 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok. 

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas mangsa lelaki berusia 43 tahun dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging iaitu satu senjata yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata salah.

Kesalahan itu dilakukan berhampiran Merlin Tower, Jalan Meldrum, Johor Bahru pada pukul 2.24 petang. 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Mamu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI