fb fb fb fb fb

Tokan dadah warga asing dicekup di Miri

FOTO IPD MIRI

MIRI, 14 Januari- Seorang lelaki warga asing ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah di Miri.

Tangkapan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di kawasan Morsjaya.

Ketua Polis Daerah Miri Penolong Pesuuruhjaya Polis (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, lelaki warga asing yang berumur 32 tahun itu ditangkap kira-kira pukul 10 pagi semalam.

Beliau menambah semasa pemeriksaan dan serbuan dilakukan, pihak polis turut merampas sejumlah dadah seberat 5.2 gram jenis methamphetamin dengan nilai RM570.

Alexson yang dihubungi RTM juga memberitahu suspek mempunyai dokumen pengenalan diri seperti passport yang sah semasa penahanan.

Kes disiasat bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada dua tahun tetapi tidak melebihi lima tahun dan dikenakan sebatan tidak kurang daripada tiga kali tetapi tidak melebihi sembilan kali.

Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 10 sehingga 17 Januari 2025 bagi membantu siasatan.

Beliau menasihatkan masyarakat agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka untuk segera melaporkannya di balai polis berhampiran agar aktiviti ini dapat dibendung dan dibanteras bersama.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE