fb fb fb fb fb

Tipu pelaburan bitcoin: Lelaki disyaki keldai akaun ditahan sebabkan kerugian RM129,970

GAMBAR FAIL

BALIK PULAU, 9 Oktober- Seorang lelaki yang dipercayai terlibat sebagai keldai akaun dalam sindiket penipuan pelaburan Bitcoin secara dalam talian ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Barat Daya untuk membantu siasatan berhubung kes penipuan yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM129,970.

Katanya penahanan suspek adalah berikutan laporan seorang mangsa lelaki berusia 44 tahun di Bayan Baru, yang mendakwa ditipu sindiket pelaburan Bitcoin dengan janji keuntungan 200 peratus setahun tetapi tidak menerima pulangan.

"Mangsa telah melakukan beberapa transaksi secara dalam talian ke pelbagai akaun bank, termasuk akaun milik lelaki yang ditahan itu, sejak 11 Julai hingga 10 Ogos dengan jumlah keseluruhan mencapai RM129,970," kata Kamarul Rizal.

Beliau berkata lelaki tersebut kini direman bagi membantu siasatan, dan kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-Bernama

Trainee