PARIT, 21 November – Tiga remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Parit hari ini atas pertuduhan membuli rakan sekolah mereka dalam kejadian minggu lalu.
Ketiga-tiga tertuduh berusia 16 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.
Menurut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa menolak serta menanggalkan seluar mangsa di hadapan orang ramai di dewan sebuah sekolah menengah di sini pada 8.30 pagi, 14 November lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.