fb fb fb fb fb

Tiga lelaki mengaku salah guna dokumen palsu bagi kurangkan duti kereta mewah

FOTO RTM

ALOR SETAR, 15 Januari - Tiga lelaki termasuk seorang bekas pengurus gudang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu dipercayai untuk mendapatkan pengurangan duti kereta mewah sedangkan kenderaan terbabit tidak layak menerimanya.

Tertuduh Mohd Noh Hussain, 47 tahun, Mohd Khairol Suberi, 36 tahun, dan Fairul Ismazi Ishak, 46 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah, hari ini.

Bagaimanapun, Rohatul Akmar menetapkan esok (Selasa) untuk menjatuhkan hukuman terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Noh yang merupakan bekas pengurus gudang didakwa atas dua pertuduhan pilihan iaitu menggunakan surat akuan palsu bertarikh 6 Mei 2014 dan menggunakan borang kastam palsu di Pejabat Kastam Daerah Langkawi, Dermaga Tanjung Lembung di Langkawi pada 21 Mei 2014 dan 1 Jun 2021.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Noh yang merupakan bekas pengurus gudang didakwa atas dua pertuduhan pilihan iaitu menggunakan surat akuan palsu bertarikh 6 Mei 2014 dan menggunakan borang kastam palsu di Pejabat Kastam Daerah Langkawi, Dermaga Tanjung Lembung di Langkawi pada 21 Mei 2014 dan 1 Jun 2021.

Sementara itu, Mohd Khairol yang bekerja sebagai “runner” didakwa atas dua pertuduhan menggunakan Borang Kastam Perisytiharan Barang-barang Yang Diimport palsu di Pejabat Kastam Daerah Langkawi, Dermaga Tanjung Lembung di Langkawi pada 27 April 2021 serta antara 21 April dan 22 April 2021.

Manakala Fairul Ismazi yang bekerja sendiri juga didakwa menggunakan Borang Kastam Perisytiharan Barang-barang Yang Diimport palsu di lokasi sama, pada 22 Nov 2021.

Kelima-lima pertuduhan itu ke atas tiga tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim kemudian membenarkan Mohd Noh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Mohd Khairol pula dibenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan Fairul Ismazi diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Mohd ‘Afif Ali, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Quah Chien Chieh dan Mohd Hakim Hamran.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD