PUTRAJAYA, 16 Januari- Dua pengarah syarikat perkhidmatan umrah dan haji, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd yang juga pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini atas pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) berjumlah RM589,031 tahun lalu.
Datuk Zulkarnain Endut dan isterinya, Datin Mazuin Mustafa selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria menawarkan jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan masing-masing seorang penjamin warga tempatan, pasport diserahkan kepada mahkamah serta melapor diri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Bagaimanapun peguam Datuk Hanif Hassan yang mewakili semua OKS membantah jumlah ikat jamin RM2,000 bagi setiap satu pertuduhan dengan berpendapat ia jumlah yang membebankan untuk masing-masing 21 pertuduhan.
Selepas mendengar makluman dan hujah kedua-dua belah pihak, Majistret Irza Zulaikha membenarkan Zulkarnain dan Mazuin diikat jamin RM6,300 bagi kedua-dua OKS selain syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Kes akan disebut lagi pada tarikh 26 Februari bagi sebutan semula kes.