fb fb fb fb fb

Tiga lelaki didakwa curi kenderaan pacuan empat roda

KUALA LUMPUR, 9 April - Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri sebuah kenderaan pacuan empat roda bernilai lebih RM200,000, bulan lepas.

Pembantu restoran William Ng, 43, penterjemah Loh Teng Boon, 49, dan pekerja am Kamaluddin Ismail, 35, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret M.S Arunjothy.

Mereka didakwa bersama-sama mencuri sebuah kereta jenis Toyota Fortuner milik Muhammad Mukhriz Ahmad Rizan, 31, bernilai RM226,000 di sebuah kawasan perumahan di Bukit Segambut di sini antara 5.45 pagi hingga 6 pagi, 13 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM2,500 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sheryn Yong Shi Yee manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Mike Lim Zi Xuan. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN