KUALA LUMPUR, 10 April - Kes jenayah rogol membabitkan gadis bawah umur menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh tiga tahun lepas dan polis percaya kebanyakannya bermula daripada pengantunan melalui media sosial termasuk aplikasi sembang seperti WhatsApp.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita & Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman SAC Siti Kamsiah Hassan berkata berdasarkan siasatan terhadap mangsa, rata-rata memberitahu polis yang mereka mengenali pelaku melalui laman sosial.
“Sebahagian besar gadis bawah umur yang menjadi mangsa rogol ini memberitahu pegawai penyiasat mereka mengenali individu yang merogol melalui laman sembang dan media sosial terlebih dahulu sebelum berjumpa.
“Ini menunjukkan gadis ini telah melalui fasa grooming terlebih dahulu dengan hantaran mesej yang bermula dengan ‘hai’ dan kata-kata pujian yang lain, kemudian membawa kepada penghantaran gambar bogel oleh gadis berkenaan, dan ke fasa berjumpa yang kemudian membawa kepada kejadian rogol atau rogol secara berkumpulan,” katanya kepada Bernama.
Statistik PDRM merekodkan sebanyak 1,299 kes rogol bawah umur dilaporkan pada 2021, meningkat kepada 1,388 pada 2022 dan 1,590 pada 2023.
Jenayah rogol berkumpulan melibatkan mangsa bawah umur juga menunjukkan trend sama dengan 61 kes dilaporkan pada 2021, meningkat kepada 103 kes pada 2022 dan 104 kes pada tahun berikutnya.
Mengulas lanjut, Siti Kamsiah Hassan berkata selain dijadikan platform pengantunan, media sosial juga digunakan oleh pedofilia untuk menyebarkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak kepada individu lain yang berkongsi kecenderungan dengannya.
“Mereka berkongsi (sesama sendiri) bagaimana mereka memperdaya kanak-kanak tersebut dan keseronokan mereka apabila berjaya mengeksploitasi kanak-kanak berkenaan,” katanya.
Bagi menangani isu pengantunan ini, Siti Kamsiah berkata peranan ibu bapa amat dituntut.
"Terapkan adab dalam kalangan anak-anak agar menjaga batas ketika bersosial di alam maya. Ingatkan mereka agar tidak sewenang-wenangnya berkongsi perkara atau perlakuan yang melampaui batas adat, budaya dan larangan agama,” tegas beliau.
Ibu bapa juga kata beliau, perlu sentiasa memeriksa dan memantau aktiviti anak-anak, terutama dalam penggunaan peranti dan alat telekomunikasi
“Paling penting, ibu bapa perlu tanamkan nilai-nilai dan sahsiah yang tinggi, terutama perasaan malu untuk melakukan sesuatu yang bercanggah dari sudut moral dan agama, iaitu perbuatan yang boleh memalukan dan memudaratkan diri sendiri,” tambahnya.
Pada masa sama, ibu bapa juga perlu meningkatkan tahap kawalan kendiri anak masing-masing agar mereka berupaya melindungi diri sendiri daripada menjadi sasaran pedofilia yang memanfaatkan kecanggihan teknologi komunikasi.
“Mereka (kanak-kanak) perlu faham apa yang menjadi ancaman kepada diri mereka dan bagaimana untuk mempertahankan dan melindungi diri,” kata beliau.- BERNAMA