KUCHING, 11 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Sarawak telah menahan sebuah bot tunda dan tongkang yang mencurigakan berdekatan Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salehuddin (KOMTAS), Muara Tebas di sini semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah yang sedang menjalankan rondaan operasi Op Khas Pagar Laut di sekitar perairan Kuching telah mengesan sebuah bot tunda beserta tongkang dalam keadaan yang mencurigakan.
Katanya, dalam kejadian sekitar pukul 2.50 petang, mendapati kedua-dua bot tersebut dikendalikan oleh enam kru lelaki, terdiri daripada tiga warga India, seorang warga tempatan, seorang warga Myanmar, dan seorang lagi warga Indonesia dalam lingkungan umur 22 hingga 59 tahun.
"Kesemua kru, bot tunda dan tongkang kemudiannya ditahan dan diiring masuk ke jeti KOMTAS untuk siasatan lanjutan.
"Walaupun kesemua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, mereka gagal mengemukakan Sijil Pendaftaran Kapal dan Tongkang yang sah ketika pemeriksaan," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Ordinan Kapal Saudagar (MSO) 1952/60.
Selain itu, bot tunda itu juga didapati melakukan kesalahan operasi dengan membawa penumpang tanpa kebenaran pegawai pelabuhan.
"APMM sentiasa komited dalam melaksanakan rondaan dan pemantauan bagi mencegah sebarang bentuk pelanggaran undang-undang, penyeludupan, pencerobohan, serta jenayah maritim di samudera negara pada setiap masa," katanya.