fb fb fb fb fb

Tiga lelaki Bangladesh ditahan dalang eksploitasi rakan senegara

JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 14 Disember- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan tiga lelaki warga Bangladesh yang dipercayai dalang utama sindiket pemerdagangan manusia melibatkan rakan senegara dalam satu Operasi Khas pada Rabu lepas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban memaklumkan operasi di tiga lokasi sekitar Cheras bermula pukul 9.11 malam itu turut menyelamatkan 11 lelaki warga Bangladesh yang menjadi mangsa eksploitasi sindiket.

Serbuan melibatkan sepasukan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dengan kerjasama Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya.

"Operasi ini adalah hasil risikan selama dua minggu membawa kepada penahanan tiga lelaki warga Bangladesh berusia 35 hingga 38 tahun yang dipercayai dalang utama. Turut ditahan seorang wanita warga Bangladesh dipercayai pasangan kepada salah seorang suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil siasatan awal mendapati modus operandi sindiket adalah membawa masuk mangsa sebagai pelancong melalui pintu masuk udara sebelum menempatkan mereka di rumah transit.

Zakaria berkata mangsa dikenakan bayaran sebanyak RM15,000 seorang untuk masuk ke negara ini dan tambahan RM5,000 untuk keluar daripada rumah transit.

"Pasukan operasi turut merampas 17 pasport Bangladesh, 20 unit telefon bimbit, wang tunai RM800 dan AS$800, serta dua kenderaan jenis Proton Gen 2 dan Proton X70," katanya lagi.

Kesemua suspek kini disiasat bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala wanita yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua tangkapan telah dibawa ke pejabat JIM untuk dokumentasi dan tindakan lanjut.

Zakaria menegaskan JIM akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah pemerdagangan manusia, termasuk melalui penguatkuasaan Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

SITI AISHAH MD ISA