TAPAH, 3 Februari- Tiga lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Depot Tahanan Sementara Imigresen Bidor di sini yang melarikan diri pada Khamis lepas berjaya ditahan setakat pagi ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata tangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah warga asing yang berjaya ditangkap setakat ini seramai 10 orang.
Menurutnya, radius pencarian baki 120 tahanan lagi diperluas melibatkan kawasan penempatan warga asing di sekitar Tapah.
“Lebih kurang 7 pagi tadi, dua orang ditahan di Masjid Batu Melintang apabila mereka datang ke masjid untuk meminta air daripada kariah masjid. Pihak penduduk di sana memaklumkan kepada polis.
“Sebentar tadi kita dapat satu maklumat lagi, satu tangkapan dibuat di Kampung Orang Asli Sementa. Semua dalam radius 12 kilometer, mereka sudah mula keluar disebabkan ada keperluan untuk mendapatkan bekalan makanan dan minuman,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Depot Sementara Imigresen Bidor di sini hari ini.
Ruslin berkata perkara itu menunjukkan satu perkembangan yang baik dengan kerjasama daripada pihak polis melibatkan Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerakan Udara, Jabatan Siasatan Jenayah, Unit Anjing, Jabatan Sukarelawan (RELA) semakin ke hadapan bagi membantu mengesan serta menangkap tahanan berkenaan.
Pada Khamis, kira-kira 9.50 malam, 131 pendatang tanpa izin telah melarikan diri dari blok lelaki Depot Tahanan Imigresen Bidor, termasuk seorang yang meninggal dunia akibat nahas jalan raya.