KUALA TERENGGANU, 3 Februari - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan 21 individu termasuk 19 warga Thailand atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu.
Operasi membabitkan tiga agensi penguat kuasa di sekitar Jeti Pulau Duyong, di sini tengah malam tadi.
Pengarahnya, Kapten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid dalam satu kenyataaan berkata kesemua suspek ditahan berusia lingkungan 32 hingga 52 tahun dan bekerja sebagai kru nelayan tempatan.
Hasil ujian air kencing mendapati 13 suspek termasuk dua warga tempatan positif dadah jenis methamphetamine.
"Operasi dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Terengganu pada 12 tengah malam tadi.
"Selain ujian urin, pemeriksaan juga mendapati lapan warga Thailand tidak memiliki dokumen pengenalan diri. Mereka diserahkan kepada JIM Terengganu untuk tindakan lanjut," katanya.
Dalam pada itu Mohd Khairulanuar berkata pihaknya akan meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di negara ini demi keselamatan serta kesejahteraan komuniti.