JOHOR BAHRU, 27 Mac- Tiga individu termasuk seorang pemilik syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan membuang sisa pepejal pembinaan di lokasi tidak dibenarkan di Pontian, tahun lalu.
Ketiga-tiga mereka didakwa secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Dua daripada tertuduh, Tan Hock Lai, 45, dan Chia Vui Shan, 30, mengaku bersalah, sementara seorang lagi tertuduh iaitu Wong Wai Heng, 49, mengaku tidak bersalah.
Hock Lai dijatuhkan denda RM30,000, manakala denda RM15,000 pula dikenakan kepada Vui Shan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Hock Lai didakwa telah melonggokkan sisa pepejal di tanah lot 2030, Mukim Rimba Terjun, Pontian pada pukul 2.30 petang, 20 Jun tahun lalu.
Vui Shan pula didakwa melakukan perbuatan sama di tanah lot 5877, GM 6012 Mukim Rimba Terjun, Pontian pada jam 1.25 petang, 15 Ogos 2023.
Wai Heng pula didakwa melakukan perbuatan sama di Tanah Kerajaan (Rizab Jalan) Mukim Jeram Batu, Pontian pada jam 11 pagi, 4 Julai 2023.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 71(8) akta sama yang memperuntuk hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Bahagian Undang-Undang Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nor Iffa Zarilla Abd Rahman manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 6 Mei depan untuk sebutan semula bagi kes Wai Heng.