fb fb fb fb fb

Lelaki bawa ganja bernilai RM130, 971 ditahan

Foto Hiasan

AYER KEROH, 27 Mac - Polis Melaka menahan seorang lelaki bersama-sama dadah jenis ganja dan cecair ganja bernilai RM130, 971, di sini.

Suspek berusia 45 tahun itu, disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah termasuk cecair vape mengandungi ganja di negeri itu.

Penahanan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Melaka ketika suspek sedang berhenti berehat di kawasan rehat dan rawat (R&R) Ayer Keroh, arah selatan, Lebuh Raya Utara Selatan, kira-kira pukul 1.35 tengah hari Ahad lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah dalam satu kenyataan berkata, hasil risikan dijalankan polis mendapati sindiket terbabit mula aktif sejak awal 2023.

"41.28 kilogram ganja dan 300 unit cecair ganja yang dirampas berkenaan dipercayai boleh digunakan seramai 206, 405 penagih.

"Semakan rekod dijalankan mendapati suspek yang bekerja sebagai penghantar barang itu mempunyai satu rekod dadah lampau mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan ujian saringan air kencingnya adalah negatif," katanya.

Suspek direman tujuh hari bermula hingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, polis Kontinjen Melaka sentiasa berharap masyarakat dapat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di kawasan masing-masing.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan melalui talian hotline JSJN di talian 012-2087222.

TETITIA YUSOFF