fb fb fb fb fb

Tiga ditahan terlibat proses, jual arak tiruan

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Timbalan Pesuruhjaya Polis (ACP) Balveer Singh menunjukkan arak tiruan yang dirampas pada sidang media di Johor Bahru / Foto RTM

JOHOR BAHRU, 4 September - Polis menahan tiga lelaki di Johor Bahru pada 2 dan 3 September lalu, dipercayai terlibat kegiatan memproses dan menjual arak tiruan sejak enam bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Timbalan Pesuruhjaya Polis (ACP) Balveer Singh berkata serbuan dijalankan di dua buah kilang di Taman Johor dan Taman Kempas Utama yang dipercayai menjadi tempat memproses dan mengedar arak tiruan serta digunakan sebagai stor penyimpanan.

"Polis telah mengenal pasti dua lagi suspek yang merupakan lelaki warga tempatan berusia 48 dan 50 tahun yang telah melarikan diri. Kedua-dua mereka telah disenarai hitamkan dan usaha mengesan mereka masih diteruskan," katanya pada sidang media, di sini.

Turut dirampas pada serbuan itu 564 kotak minuman keras, sebuah lori, lima buah kereta, tiga bungkusan pelekat cukai kastam dan pelbagai peralatan memproses arak, bernilai RM1.25 juta.

Salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah bersabit Akta Pertaruhan.

Ketiga-tiga mereka direman hingga Isnin dan Selasa depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN