KUALA LUMPUR, 4 September- Empat lelaki terlibat kes membaling bom petrol ke sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng memohon Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menggugurkan pertuduhan dihadapi mereka.
Peguam Haziq Aizuddin Subhi yang mewakili kesemua tertuduh memaklumkan pihaknya mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam.
Muhammad Hasan Abd Hamid, Muhamad Nur Kholis Muhamad Syaikhudin, M. Preemraj dan Nor Rahman Sadik didakwa melakukan kesalahan di hadapan pusat hiburan, di Jalan Yap Kwan Seng, Dang Wangi, Kuala Lumpur sekitar pukul 2.17 pagi pada 9 Mei lalu.
Mereka didakwa bersubahat bersama-sama suspek yang masih bebas melakukan khianat dengan api iaitu membaling empat botol yang dinyalakan dengan api ke arah pintu depan pusat hiburan terbabit.
Pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 435 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memohon mahkamah menetapkan satu tarikh lain berikutan representasi baru dikemukakan dan perkara tersebut tidak dibantah oleh peguam.
Hakim Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi menetapkan 25 September bagi sebutan semula kes selepas keputusan representasi diperolehi.