fb fb fb fb fb

Tiga beradik, bapa saudara ditahan disyaki ahli sindiket dadah 'Geng Potek'

Dadah dan wang tunai antara yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah usang di Sungai Papan

KOTA TINGGI, 28 Julai- Tiga beradik bersama bapa saudara yang juga ketua sindiket pengedaran dadah ‘Geng Potek’ yang aktif di Kota Tinggi, Johor sejak Mei lalu antara lapan ditahan dalam satu operasi pada 24 Julai lalu.

Semua suspek termasuk seorang wanita berusia antara 19 hingga 51 tahun ditahan, di kawasan Sungai Papan bersama dadah bernilai kira-kira RM55,000.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, sindiket berkenaan menjadikan rumah di kawasan muara sungai sebagai pusat pembungkusan semula dadah.

"Rumah papan kosong didirikan oleh ahli sindiket ini untuk pembungkusan dadah mereka dan pada waktu yang sama untuk menghisap dadah. Dadah itu telah dibungkus menggunakan plastik serupa makanan bagi mengaburi orang ramai bahawa ini adalah dadah. Tapi kita percaya ada lagi rangkaiannya", katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di sini, hari ini.

Tambahnya, hasil saringan air kencing mendapati tujuh suspek positif dadah dan siasatan mendapati lima daripadanya mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Polis turut menyita dua buah kereta dan sebuah motosikal serta wang tunai hasil jualan dadah.

Semua suspek direman sehingga Selasa ini bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

ROSLINA BINTI DIN