fb fb fb fb fb

Ibu dan anak ditahan, disyaki terlibat sindiket pas lawatan IMM13

SANDAKAN, 27 Julai-Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini menahan reman dua beranak kerana disyaki terlibat dalam pengeluaran pas lawatan IMM 13.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 2 Ogos 2024 telah dikeluarkan Majistret Marilyn Kelvin, setelah permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sandakan, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek berusia 50 tahun ditahan bersama anaknya yang berusia sekitar 30 tahun semalam, ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan.

Kedua-dua suspek dipercayai bertindak sebagai orang tengah menguruskan lanjutan permohonan pas lawatan IMM 13 kepada pelarian Filipina datang berlindung di Sabah akibat pergolakan sekitar awal 1970-an.

Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak 2022 melibatkan wang rasuah berjumlah kira-kira RM20,000

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD