fb fb fb fb fb

Tiada pegawai SPRM menghubungi Wan Saiful - KP SPRM

Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR, 29 Februari- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mengesahkan tiada pegawainya menghubungi Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan susulan dakwaan berhubung tawaran habuan sebanyak RM1.7 juta kepada wakil rakyat serta pengguguran kes di mahkamah.

Azam berkata beliau telah menyemak perkara itu dengan pegawainya namun didapati tidak ada yang berbuat demikian.

"Mungkin sesiapa pun menghubungi beliau yang mengatakan beliau daripada SPRM. Namun yang demikian yang penting disini ialah Datuk Wan Saiful Wan Jan seharusnya atau sepatutnya datang ke SPRM untuk membuat laporan.

"Apabila seseorang itu ditawarkan yang dikatakan suapan atau rasuah, perlu datang ke mana-mana balai polis terdekat ataupun SPRM untuk membuat aduan atau laporan kepada kami," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan 2024 di ibu negara.

Azam turut memberi jaminan bahawa siasatan telus akan dijalankan selagi kes itu di bawah bidang kuasa SPRM.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI