IPOH, 29 Februari- 71 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi di 10 premis sekitar Ipoh dan Enggor, Kuala Kangsar semalam dan hari ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Perak Sharmanrizal Rustam berkata, kesemua ditahan terdiri daripada warganegara Bangladesh, Pakistan, Laos, Vietnam, Indonesia, Myanmar dan Thailand.
Pemeriksaan dilakukan ke atas 133 individu berumur antara 18 hingga 50 tahun.
Dalam operasitersebut, pihaknya turut menyerbu sebuah premis hiburan yang menawarkan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO) di Kampung Jawa, Ipoh.
Seramai 23 orang perempuan warganegara Thailand ditahan dalam Ops Gegar ini.
Serbuan juga dijalankan di sembilan buah premis yang menjalankan perniagaan hotel dan spa, kedai makan, pembinaan, perkhidmatan dan kediaman pangsapuri serta ladang sekitar Enggor.
Kesemua tahanan disiasat bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan kesalahan bawah Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas.
Siasatan turut dibuat bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Pasport 1966.