fb fb fb fb fb

Pemandu bas hisap rokok ketika isi minyak dilaporkan kepada KPDN

Tangkap layar menunjukkan lelaki menghisap rokok sambil mengisi minyak

IPOH, 1 Mac- Polis memandang serius aksi seorang pemandu bas persiaran mengisi minyak sambil merokok di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, Behrang yang tular menerusi sebuah video sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir menerusi satu kenyataan malam tadi memaklumkan, semakan pihaknya mendapati insiden itu berlaku pada Ahad lepas.

"Pemilik stesen minyak telah membuat aduan terus kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang bertanggungjawab bagi mengambil tindakan atas perbuatan yang dilakukan oleh pengguna tersebut," katanya.

Beliau berkata kesalahan yang dilakukan boleh diambil tindakan mengikut Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Kesalahan memperuntuk hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM10,000 jika sabit kesalahan.

Justeru, katanya pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak merokok di kawasan larangan terutama stesen minyak yang boleh menyebabkan kecederaan, bencana dan membahayakan nyawa orang ramai.

Terdahulu, tular video berdurasi 57 saat memaparkan lelaki menghisap rokok sambil mengisi minyak dan rata-rata warganet meninggalkan komen negatif kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini akibat perlakuan itu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE