fb fb fb fb fb

Terpedaya skim pelaburan kripto, pengarah syarikat alami kerugian jutaan ringgit

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 6 Februari- Seorang pengarah syarikat mengalami kerugian sebanyak RM11,130,123 selepas terpedaya dengan skim pelaburan mata wang kripto 'ACCERX', September tahun lalu.

Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa dalam satu kenyataan berkata susulan kejadian tersebut, individu itu telah membuat laporan polis pada 30 Januari lepas, di Balai Polis Sentul.

Skim yang diiklankan di laman Facebook itu telah mengakibatkan individu terbabit mengalami kerugian terbesarnya dan siasatan telah dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan

Setakat ini, pihak polis telah berjaya mengenal pasti 73 syarikat, 83 akaun bank milik syarikat dan perniagaan serta satu akaun bank individu yang digunakan dalam penipuan berkenaan.

Sejak November lepas, polis telah menerima 124 laporan daripada mangsa penipuan pelaburan itu di seluruh negara melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM90,364,463.08.

Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan kesahihan sesuatu pelaburan, sebelum terjerumus menjadi mangsa penipuan dalam talian.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM