fb fb fb fb fb

Polis Pahang rampas dadah cecah nilai hampir RM550,000

Datuk Seri Yahaya Othman

KUANTAN, 6 Februari- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berjaya merampas dadah jenis syabu, pil yaba dan heroin menerusi dua operasi pada pada 4 dan 5 Februari dengan nilai mencecah RM543,559.

Dalam operasi itu, enam suspek terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita warga tempatan, ditangkap.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, menerusi operasi pertama pada 4 Februari lalu kira-kira pukul 11.00 pagi hingga 6.17 petang pihaknya telah melancarkan operasi di kawasan Tanjung Lumpur, Kuantan.

Dalam operasi itu, dua suspek lelaki dan seorang perempuan Melayu berumur lingkungan 38 hingga 51 tahun ditangkap, kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

"Hasil daripada tangkapan tersebut pihak polis telah berjaya merampas sejumlah 10.41 kilogram dadah jenis syabu dan 3249.9 gram pil yaba yang dianggarkan bernilai RM438,429. Kes ini telah disiasat bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) dan semua masih direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut," katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini.

Sementara itu operasi kedua dilakukan di kawasan Indera Mahkota, Kuantan pada pukul 10.00 pagi hingga pukul 12.23 malam, pada 4 dan 5 Februari lalu.

Tiga suspek lelaki India warga tempatan berumur lingkungan 25 hingga 26 tahun ditangkap menerusi operasi itu.

"Operasi tersebut telah berjaya merampas sejumlah 12.66 kilogram dadah jenis heroin yang dianggarkan bernilai RM105,130. Kes ini juga disiasat bawah seksyen 39B ADB 1952 dan semua suspek ini masih direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut," katanya.

Dadah dirampas bagi kedua-dua kes boleh digunakan oleh 62,401 penagih, melibatkan kawasan pengedaran di seluruh Pahang dan pantai timur.

Kesemua enam suspek direman bermula 5 hingga 11 Februari, bagi membantu siasatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI