fb fb fb fb fb

Kes OKT meninggal dunia, polis Kedah buka kertas siasatan

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh

ALOR SETAR, 6 Februari- Polis Kedah membuka siasatan berhubung kematian seorang lelaki yang ditahan dalam Ops Tapis di Langkawi, Kedah pada Isnin lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata siasatan menyeluruh dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan 19 individu telah diambil keterangan termasuk seorang pegawai kanan dan anggota polis, setakat ini.

Katanya, siasatan awal telah dilakukan sejak kes tersebut berlaku dengan penyiasatan menjurus mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan laporan awal, bedah siasat mendapati punca kematian orang kena tahan (OKT) terbabit adalah disebabkan oleh kecederaan yang disebabkan objek tumpul di kepala.

"Saya bercakap mengikut fakta dan menerusi laporan-laporan yang dibuat. Jadi, sebab itu kita pergi untuk jelaskan dan perkara itu kita laksanakan siasatan."

"Sekiranya, kita sudah dapat maklumat daripada video dan saksi-saksi awam seramai 13 orang tadi, saya yakin dalam masa terdekat kita akan dapat," kata Datuk Fisol kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad mengesahkan OKT meninggal dunia bukan ketika ditahan, disahkan meninggal dunia selepas jaminan polis.

Katanya, JIPS akan menjalankan siasatan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang didakwa dilakukan sekumpulan anggota polis terhadap suspek terbabit.

Pada 29 Januari lalu, suspek berusia 31 tahun ditahan sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah IPD Langkawi ketika dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Semasa tangkapan dibuat, berlaku pergelutan bersama suspek dan suspek telah mengalami luka di bahagian kening sebelah kanan, leher sebelah kiri, telinga kanan dan tangan kanan serta lutut kanan.

Terdahulu, tular sebuah video di media sosial penahanan suspek di sebuah stesen minyak dan pegawai serta tiga anggota turut mengalami kecederaan kecil.

Hasil pemeriksaan telah menemukan satu keratan straw berisi ketulan atau serbuk disyaki dadah jenis Heroin dengan anggaran berat 0.21 gram di dalam poket seluar suspek.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Suspek dilapor mempunyai tiga rekod kesalahan jenayah dan empat kes berkaitan dadah.
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM