PUTRAJAYA, 6 Februari - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang penjawat awam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak kira-kira RM16,000 untuk kelulusan pecah bahagian tanah di salah sebuah Pejabat Daerah dan Tanah di negeri itu.
Sumber memaklumkan, suspek wanita berusia lingkungan 40-an dipercayai ditahan kira-kira pukul dua petang tadi di pejabat SPRM cawangan Kuala Selangor ketika diminta hadir memberi keterangan.
“Suspek dipercayai meminta dan menerima wang rasuah daripada tiga pemilik tanah di sekitar daerah tersebut yang ingin memohon kelulusan pecah bahagian tanah.
“Siasatan awal mendapati suspek telah meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM16,000 yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi miliknya pada tahun 2022,” kata sumber tersebut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, suspek akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Kuala Selangor, esok.