fb fb fb fb fb

Tawar pekerjaan tidak wujud, 11 individu didakwa

11 individu didakwa di Mahkamah Sesyen Taiping atas tuduhan menipu dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud

TAIPING, 19 September- 11 individu didakwa di Mahkamah Sesyen Taiping atas tuduhan menipu dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud, bulan lepas.
 
Ng Kai Yee, Leong Ying Zhi, Lee Kong Pa, Wong Li Jia, Lam Yong Jun, Yeong Yong Long, Leyu Yee Ying, Toh Khai Shean, Ng Zi Cong, Chuah Cher Seng, dan Yeoh Li Kee, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Kesemua tertuduh berusia antara 21 hingga 26 tahun didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu di Taman Desa Tekkah Sentosa dalam daerah Larut, Matang dan Selama pada pukul 1.30 tengah hari, 14 Ogos lepas.
 
Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan.
 
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin menawarkan jaminan sebanyak RM25,000 setiap seorang serta syarat tambahan mereka perlu melapor diri di balai berdekatan setiap bulan selain menyerahkan pasport sehingga kes selesai.
 
Namun Peguam S. Privesh Paul Singh yang mewakili Kai Yee, memohon jaminan sebanyak RM2,000 kerana anak guamnya sedang mengandung tujuh bulan.
 
Manakala peguam Tan Kian Peng mewakili 10 lagi tertuduh memohon agar jaminan dikurangkan kerana kesemua anak guamnya tidak bekerja dan masih ditanggung oleh ibu bapa.
 
Hakim Nabisha Ibrahim kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 setiap seorang berserta syarat tambahan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya.
 
Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 29 Oktober depan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI