fb fb fb fb fb

Taktik Baharu Penyelewengan Petrol dan Diesel di Sempadan Negara dikesan

Foto Hiasan

CHANGLUN, 23 Oktober - Taktik baharu aktiviti penyelewengan petrol dan diesel dengan mengisi secara berulang dan kecil-kecilan sama ada secara individu atau kumpulan kecil menggunakan kenderaan bernombor pendaftaran tempatan telah dikesan dilakukan dilakukan di stesen-stesen berhampiran sempadan negara.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata, berbanding sebelum ini aktiviti tersebut banyak dilakukan secara pukal.

Katanya, pemantauan dilakukan di lima stesen minyak di daerah Kubang Pasu dan satu di daerah Baling dari tempoh 1 Oktober hingga 20 Oktober lalu melalui penugasan statik.

Berdasarkan perbandingan tempoh sama pada bulan sebelumnya didapati  terdapat penurunan jualan bagi produk diesel bagi stesen-stesen berkenaan antara tujuh hingga 24 peratus.

Manakala bagi petrol RON95 pula mencatatkan penurunan antara tiga hingga 30 peratus.

"Modus operandi mereka adalah dengan membuat pembelian menggunakan tong kecil dan ada beberapa kenderaan yang disyaki mempunyai tangki tambahan. Kawasan pengumpulan yang telah dikenal pasti adalah di kawasan kampung yang jauh daripada perhatian awam," kata Muhammad Nizam.

Beliau berkata demikian pada sidang media  selepas  melakukan pemeriksaan statik dan Ops Tiris 3.0 di dua buah stesen minyak berdekatan sempadan Bukit Kayu Hitam.

Katanya dalam tempoh tersebut  sebanyak 19,705 kenderaan telah direkodkan dengan 19,001 melibatkan kenderaan tempatan dan 704 kenderaan berpendaftaran asing.

Sebanyak 580 kenderaan telah dikenal pasti membuat pengisian secara berulang melebihi satu kali pada hari sama di stesen-stesen berbeza yang dilaksanakan penugasan statik.

Susulan itu empat tindakan kes dilakukan melibatkan sitaan ke atas 1,300 liter minyak petrol, 4,200 liter minyak diesel dua unit kenderaan serta peralatan pemindahan minyak dengan jumlah sitaan bernilai RM37,015 berjaya digagalkan.

TETITIA YUSOFF