AYER KEROH, 23 Oktober - Polis menahan seorang lelaki dipercayai dalang 22 kes pecah rumah di sekitar Alor Gajah dan Melaka Tengah sejak awal tahun ini.
Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Nawawi berkata, suspek berusia 24 tahun yang dikenali sebagai 'cicak' itu ditahan di sebuah hotel di Jalan Angkasa Nuri, minggu lalu dalam satu operasi.
Turut dirampas pelbagai barangan termasuk motosikal, telefon bimbit, rantai leher emas dan sebagainya bernilai kira-kira RM150,000 dan dadah jenis syabu seberat 5.34 gram.
"Suspek bergerak secara bersendirian dan menyasarkan rumah tidak berpenghuni sebelum memecah masuk dan mencuri barangan berharga.
"Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan suspek direman selama 10 hari hingga 25 Oktober ini," kata Md Nazri dalam satu kenyataan.
Kes disiasat bawah seksyen 457 kanun keseksaan kerana pecagh rumah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun denda dan sebat jika sabit kesalahan.