KUALA LUMPUR, 14 Ogos - Seorang suspek jenayah samun ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di susur masuk ke Tol Sungai Balak, Lebuhraya SILK dekat Kajang, petang Selasa.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata lelaki berusia 30-an itu mempunyai enam jenayah rekod kes samun enggan memberhentikan kenderaan selepas dikesan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang sedang membuat rondaan di lokasi.
"Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, ketika anggota JSJ sedang membuat rondaan di lokasi telah menahan kereta jenis Perodua yang dipandu lelaki tersebut.
"Namun lelaki itu enggan berhenti sebaliknya melepaskan tembakan ke arah polis," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah Hussein, seorang anggota polis berusia 30-an turut terkena tembakan.
"Bagaimanapun, anggota itu terselamat kerana tembakan mengenai baju kalis peluru yang dipakai," katanya.
Hussein berkata, suspek dipercayai terlibat dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Plaza Metro Kajang beberapa bulan yang lalu.
Beliau berkata kertas siasatan berhubung kejadian dibuka mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Pada 17 Jun lalu, Berita RTM melaporkan berlaku kejadian kes samun barangan kemas dianggarkan bernilai RM3.2 juta.
Dalam kejadian itu, empat lelaki berpakaian seperti pengawal keselamatan merompak kedai emas di sebuah pusat beli belah di Kajang.