SHAH ALAM, 7 Julai -Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi bersifat jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menerusi akaun Facebook miliknya pada Januari lalu.
Bagaimanapun, tertuduh Suhaila Abd Halim, 39, minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norazlin Othman di Mahkamah Sesyen di sini.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Tertuduh juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab bersama Pegawai Pendakwa MCMC Mohamad Azmir Mohd Razali.
Hakim kemudiannya membenarkan wanita itu diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 17 September depan untuk sebutan semula kes.