SEPANG, 30 Januari- Pasangan suami isteri antara tiga yang diberkas kerana dipercayai menjadi 'keldai dadah', membawa dadah bernilai RM1.2 juta ke Miri, Sarawak pada 24 Januari lepas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata tangkapan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang kira-kira pukul 10.30 pagi di tempat letak kenderaan sebuah kondominium di Sepang, Selangor.
Beliau berkata pemeriksaan pada bagasi dibawa suspek menemukan 38 bungkusan plastik disyaki mengandungi dadah syabu seberat 36.53 kilogram.
Siasatan mendapati ketiga-tiga suspek dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menaiki pesawat ke Miri pada pukul 12.00 tengah hari.
"Ini kali yang ketiga, mereka sudah lakukan. Maksudnya, dua kali sebelum ini mereka berjaya melepaskan diri sampai ke Sarawak dan kali ketiga pihak polis berjaya mengesan dan menangkap mereka," kata Datuk Hussein kepada pemberita dalam sidang media di IPD Sepang, hari ini.
Datuk Hussein berkata mereka diupah oleh sindiket dengan bayaran RM10,000 bagi penghantaran berkenaan.
Pihaknya percaya bahawa dadah itu telah dibawa dari negara jiran dan melalui proses pembungkusan semula oleh suspek di kondominium dan usaha mengesan dalang utama masih giat dilakukan.