fb fb fb fb fb

Suami isteri ganggu penunggang motosikal di Jambatan Pulau Pinang ada tiga rekod jenayah lampau

Tangkap layar video tular menunjukkan pembonceng motosikal menendang penunggang lain

BUTTERWORTH, 7 Februari- Polis giat menjalankan siasatan terhadap pasangan suami isteri masing-masing berusia 37 dan 50 tahun yang bertindak mengganggu penunggang motosikal di Jambatan Pulau Pinang.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin, walaupun salah seorang suspek dikatakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU), perbuatan itu menjadi satu kesalahan kerana mengundang bahaya kepada orang lain.

Pihaknya membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan berhubung kes itu.

“Berdasarkan semakan suspek lelaki dan wanita ini ada tiga rekod jenayah lampau.

“Perintah reman selama empat hari sudah diperoleh bermula hari ini bagi menjalankan siasatan terhadap mereka,”katanya.

Sebelum ini tular satu video yang memaparkan kelakuan berbahaya pasangan berkenaan.

Video itu menunjukkan seorang penunggang motosikal lelaki sedang membonceng seorang wanita dalam keadaan berbahaya.

Ketika itu suspek wanita didapati membaling satu objek dipercayai pasir dan cuba menendang pengguna motosikal yang ingin memotong motosikal ditunggangi suaminya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE