fb fb fb fb fb

Polis buru empat suspek rompakan kedai emas

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 7 Februari- Polis sedang memburu empat suspek kes rompakan ke atas sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Sepang.

Ketua Polis Sepang Asistan Komisioner (ASP) Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam satu kenyataan berkata, dalam kejadian itu tiga suspek terus meluru masuk ke kedai emas terbabit dan mengacukan pistol manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta.

"Suspek dipercayai empat lelaki tidak diketahui bangsa dan warganegara menaiki kereta jenis proton waja warna silver telah memakir kereta di bahagian belakang pasaraya sebelum masuk melalui sebuah kedai makan segera di bahagian tepi bangunan Pasaraya KIPMall.

"Kesemua suspek memakai helmet, bersarung tangan, berjaket dan berseluar warna gelap. Suspek masuk ke dalam kedai emas pada pukul 8.14 malam dan keluar semula pada pukul 8.16 malam. Suspek keluar melalui laluan lain di pintu belakang dan terus menaiki kereta yang mana salah seorang suspek telah siap sedia menunggu di dalam kereta," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun tiada sebarang tembakan dilepaskan oleh suspek dalam kejadian itu dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Barang yang disamun merupakan rantai leher, rantai tangan pelbagai saiz dan berat.

Satu kertas siasatan telah dibuka bawah Seksyen 395/397 kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua puluh tahun dan sebat.

Pihak polis Sepang menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menyalurkan maklumat di balai polis yang berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Boby Tamat di talian 013-5557858.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI