fb fb fb fb fb

Dokumen kes babitkan pegawai polis didakwa bunuh pelajar belum lengkap

Mohd Nazri Abdul Razak tiba di perkarangan mahkamah pada pukul 8.20 pagi

IPOH, 7 Februari- Mahkamah Majistret Ipoh dimaklumkan dokumen kes membabitkan seorang pegawai kanan polis yang didakwa membunuh pelajar tingkatan 5 di Taman Jati, Ipoh, pada Disember tahun lalu, masih belum lengkap.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz dalam prosiding sebutan semula kes di hadapan Majistret S.Punitha.

Majistret kemudiannya menetapkan 21 Mac depan untuk sebutan semula kes untuk serahan dokumen sebelum memuktamadkan kes untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh Mohd Nazri Abdul Razak, 44, didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17 tahun.

Perbuatan tersebut dilakukan pada 15 Disember antara pukul 12.05 hingga 12.40 tengah hari di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati dalam daerah Kinta, Perak.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan. 

Dalam prosiding sebutan semula, Mohd Nazri memakai pelitup muka dengan tangan bergari tiba di perkarangan mahkamah pada pukul 8.20 pagi. 

Bagaimanapun prosiding sebutan semula kes itu hanya mengambil masa lima minit sebelum tertuduh dibawa menaiki kereta polis meninggalkan mahkamah pada pukul 9.41 pagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI