KUCHING, 7 Februari- Polis Kuching berjaya menahan enam lelaki dan dua perempuan berhubung kes gangguan pemberi pinjaman wang atau 'Ah Long' yang menyimbah cat di kediaman keluarga mangsa di sekitar daerah Kuching, sejak awal Januari tahun ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah menerusi kenyataan media memaklumkan suspek berusia dalam lingkungan 19 hingga 47 tahun dan dua daripadanya positif dadah serta lapan suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan jenayah dan dadah.
Turut dirampas daripada suspek ialah dua buah kenderaan, dua unit telefon bimbit dan dua tong cat serta dua bilah pisau.
Dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis berjaya menyelesaikan lima kes yang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.