fb fb fb fb fb

SPRM siasat pemimpin kanan disyaki lantik syarikat berkepentingan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR 28 April- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat seorang pemimpin kanan di utara tanah air, kerana disyaki melantik beberapa syarikat dipercayai mempunyai kepentingan dengannya membabitkan projek pembekalan dianggar bernilai RM300,000.

Sumber SPRM berkata pemimpin tersebut juga, disyaki melantik beberapa syarikat bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan jalan, yang melibatkan peruntukan Pejabat Menteri Besar kira-kira RM1 juta yang dipercayai organisasi itu mempunyai kepentingan dengan anak pemimpin tersebut.

Beliau berkata, projek-projek tersebut juga dipercayai dimonopoli oleh anak pemimpin berkenaan, dengan menggunakan beberapa lesen syarikat-syarikat di bawah kawalannya.

“Kesalahan tersebut dipercayai dilakukan dari Januari 2023 hingga Mac 2024 dan syarikat-syarikat tersebut turut disyaki telah mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran matan palsu bagi kerja-kerja tersebut, selain diberikan komisyen kira-kira lima peratus daripada nilai projek,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 15 buah syarikat dikenal pasti dikawal oleh anak pemimpin itu dan antara aktiviti yang dijalankan melibatkan pembekalan air mineral serta pembekalan hamper dan cenderahati.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan sedang dijalankan berhubung perkara tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE